DBKK Gigih Meredah Pantai Taman Awam Teluk Likas Bersihkan Sampah-Sarap

DBKK Gigih Meredah Pantai Taman Awam Teluk Likas Bersihkan Sampah-Sarap

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pekerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) gigih dan cekal meredah tepian pantai Taman Awam Teluk Likas di subuh pagi bagi membersihkan sampah-sarap.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, setiap kali seseorang membuang sampah ke saluran perairan atau di laut sampah itu pasti akan dibawa ke tepian pantai mengikut air pasang surut laut.

“Dan pantai Taman Awam Teluk Likas adalah salah satu kawasan mendaratnya sisa sampah yang disebutkan…

”Di sinilah kita lihat kegigihan dan cekalnya anggota pembersihan yang bertungkus lumus membersihkan sampah yang mendarat semalam sehingga ke subuh hari,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Pekerja DBKK membersihkan sampah sarap di Taman Awam Teluk Likas sejak dari subuh lagi…

Menurutnya, seramai lebih kurang 150 orang anggota telah diturunkan khas bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan seawal jam 4 pagi Ahad bagi memastikan tepian pantai sehingga jalan raya bersih dari longgokan sampah pada setiap musim tengkujuh.

“Anggota pembersihan dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) dan Jabatan Landskap (JL) bergerak secara berkumpulan dengan jentera masing-masing serta kepakaran para anggota bermula dari jalan bulatan Wisma Perindustrian sehingga ke Anjung Senja…

“Sejumlah kira-kira 4000 kilogram (kg) sampah berjaya dibersihkan pagi tadi,” katanya.

Longgokan sampah yang akan “menghukum” masyarakat itu sendiri pada musim banjir nanti…

Noorliza berkata sampah yang dikumpul telah dihantar ke Pusat Pelupusan Sampah Kayu Madang.

“Antara sampah yang boleh dilihat seperti bekas botol minuman plastik, beg plastik, pembungkus makanan plastik, ranting dan dahan kayu,” katanya sambil menambah kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya pada jam 2.00 petang.

“Diperhatikan sisa sampah ini adalah jenis sisa tidak mudah terurai dalam tempoh masa yang singkat. Sisa plastik buangan itu bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah berbahaya selain dapat memusnahkan hidupan marin, burung dan kerangan di lautan…

“Pelbagai usaha telah dilakukan agar masyarakat lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan sama ada di darat mahupun di lautan.

“Kempen-kempen diwujudkan bertujuan mewujudkan kesedaran orang ramai dan kepekaan terhadap keperluan untuk membuang sampah dengan cara yang betul bagi melindungi dan menjaga alam sekitar dan kebersihan bandaraya. Namun, tanggungjawab itu sentiasa ditinggalkan kepada pihak berkuasa tanpa sokongan dan komitmen jitu daripada awam,” tegasnya.

Beliau berkata masyarakat perlu memahami bahawa sampah dibuang di atas jalan raya atau tempat awam lain akan hanyut ke dalam longkang dan sungai selepas hujan ditambah dengan yang dibuang secara terus ke perairan.

Perkara itu akan mengundang masalah yang lebih besar lagi seperti banjir dan memerlukan peruntukan yang lebih tinggi untuk mengatasinya serta melibatkan orang awam lain yang terlibat kesan dari banjir tersebut.

“Justeru itu, jalan paling mudah dan murah adalah buanglah sampah di tempat yang betul bagi mengurangkan kesan yang memberi implikasi buruk kepada kita sendiri. Kalau bukan kita siapa lagi,” ujarnya.