Syarikat Bas ‘Legend’ Keningau Terancam, MHO Dakwa Mahkamah Anak Negeri Langgar Bidang...

Syarikat Bas ‘Legend’ Keningau Terancam, MHO Dakwa Mahkamah Anak Negeri Langgar Bidang Kuasa

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebuah syarikat pengangkutan terkenal yang diasaskan keluarga Thien di Keningau kini berdepan krisis selepas Mahkamah Anak Negeri didakwa bertindak melangkaui bidang kuasa dalam isu pemilikan saham syarikat.

Thien, 75, yang masih memandu bas sehingga kini, mendakwa saham 50 peratus yang dahulunya diamanahkan kepada adik lelakinya atas faktor pentadbiran telah dipindahkan kepada balu adik itu selepas kematiannya pada 2020 menerusi satu perintah Mahkamah Anak Negeri.

Pertubuhan bukan kerajaan Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) yang membantu keluarga itu mendakwa keputusan mahkamah tersebut tidak sah kerana melibatkan isu korporat yang sepatutnya dibicarakan di mahkamah sivil.

“Mahkamah Anak Negeri hanya boleh dengar kes adat seperti tanah pusaka atau perkahwinan, bukannya saham syarikat,” kata Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

Menurut MHO, perintah waris (Jadual 3) yang dikeluarkan pada 2021 telah menyebabkan keluarga Thien hilang hak walaupun masih menjalankan operasi harian syarikat bas berkenaan. Usaha mencabar keputusan itu ditolak mahkamah.

“Ini syarikat dibina bersama sejak 2000. Mereka hanya tahu tentang perintah itu selepas semuanya selesai.

“Kalau tahu lebih awal, mereka boleh mohon perintah mentadbir harta di mahkamah sivil,” kata Penyelaras MHO Sabah, Kapten (B) Jerry Jaimeh.

Keluarga terbabit turut mendakwa tidak dimaklumkan tentang prosiding, malah kini disekat daripada mengakses dividen atau hasil syarikat.

MHO telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah untuk meminta semakan dan penjelasan tentang bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri dalam isu harta dan syarikat.

“Kami bukan persoal kewujudan Mahkamah Anak Negeri, tapi bila masuk urusan sivil, ia bahaya terutama bagi masyarakat luar bandar yang kurang celik undang-undang,” tegas Hishamuddin.
Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada jabatan berkenaan.

Keluarga Thien kini menimbang tindakan undang-undang selanjutnya, meskipun proses di mahkamah sivil dijangka mengambil masa bertahun.