Hak 70 Peratus Perjawatan Awam Untuk Anak-Anak Sabah, Sarawak

Hak 70 Peratus Perjawatan Awam Untuk Anak-Anak Sabah, Sarawak

0
SHARE
Peter (satu, baris kedua) menghadiri Sambutan Hari Polis Sandakan

SANDAKAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berpandangan, adalah masa yang sesuai bagi kerajaan persekutuan melihat secara positif mengenai cadangan memberikan hak keutamaan 70 peratus perjawatan awam kepada anak-anak Sabah, Sarawak di semua agensi pusat dan wilayah kedua-dua negeri itu.

Ketua Penerangan parti itu, Peter Jr Naintin berkata, walaupun ia bersifat cadangan tetapi pergerakan itu melihat masanya sudah tiba untuk perkara itu diperincikan. 

Katanya, ia selaras dengan komitmen dan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan kesamarataan di peringkat persekutuan, Sabah dan Sarawak.

“Kita mencadangkan 70 peratus itu sesuai dengan merujuk  dasar Borneanisasi, seperti mana yang termaktub dalam Perkara 20 untuk Sabah, dan Perkara 18 untuk Sarawak, di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” Katanya kepada media di Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di sini, Rabu lalu.

Majlis itu dianjurkan oleh Badan Kebajikan Kristian PDRM Daerah Sandakan yang merangkumi IPD Sandakan, IPD Kinabatangan, IPD Beluran, Marin Sandakan, BN 20 PGA Beluran dan BN 15 PGA Sandakan.

Sementara itu, Peter berkata, Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditubuhkan turut memetik mengenai keutamaan pengambilan dan peningkatan penyertaan anak-anak muda dari Sabah dan Sarawak dalam perkhidmatan awam persekutuan.

“Pengisian Ketua Jabatan Persekutuan, Negeri Sabah dan Sarawak diberikan keutamaan supaya diisi oleh Anak Sabah dan Sarawak dibangkitkan dalam Jawatankuasa Sosio Ekonomi (JKSE) pada 18 Febuari 2022,” jelasnya.

Katanya lagi, kerajaan persekutuan perlu melihat cadangan itu bukan bersifat tuntutan semata-mata tetapi Sabah, Sarawak berhak untuk meminta.

“Fakta dari semangat pembentukan Malaysia, jelas bahawa kita berhak terhadap tuntutan ini,” tegasnya.