Empat Atlet Sabah Wakili Malaysia Dalam Kejohanan Olahraga Asia B20 Di Dubai

Empat Atlet Sabah Wakili Malaysia Dalam Kejohanan Olahraga Asia B20 Di Dubai

0
SHARE
Ellron
Ellron (ditengah) diapit oleh Mansur (kanan) dan Mohamat (kiri) dalam sesi bergambar bersama-sama atlet ( Sumber Foto: Ihsan KBS Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Empat atlet olahraga Sabah akan mewakili Malaysia ke Kejohanan ke-21 Asian U20 Athletics Championship 2024 di Dubai, UAE pada Rabu depan.

Perkara itu disampaikan oleh Presiden Olahraga Sabah Tuan Mohamat Hassan dalam satu kunjungan hormat kepada Datuk Ellron Angin Menteri Belia dan Sukan Sabah, semalam.

Empat atlet olahraga Sabah itu antaranya Dexter Beddie (100M/4x100M), Hanssen Yap Soon Fu (100M/4x100M), Pengiran Aidil Auf Bin Hajam (200M/4×100) dan Muhammad Khalil Bin Helmi (400M).

Mereka bakal beraksi di kejohanan tersebut bersama-sama 12 lagi atlet muda yang layak daripada seluruh negara.

Ellron dalam pada itu berkata, bagi memudahkan urusan perjalanan atlet tersebut ke kejohanan itu, pihaknya akan memberikan bantuan kewangan menerusi geran tahunan yang telah diperuntukkan kepada persatuan.

Tambahnya lagi, kementeriannya berharap agar empat atlet terbabit akan melakar kejayaan nanti dan membuat warga Sabah berbangga dengan pencapaian mereka.

Ketika ditanya mengenai perasaan dan persiapan menghadapi kejohanan bertaraf antarabangsa itu, Hanssen Yap Juara 100 Meter Sabah Games 2023 berkata beliau akan membuat yang terbaik apabila beraksi nanti.

Manakala rakannya dalam kuartet 4×100 Dexter Bedie berkata, pemilihannya dalam senarai pendek atlet yang mewakili negara ke kejohanan itu amat menggembirakan beliau.

“Saya amat gembira, sebab dari dulu lagi saya ada matlamat mahu beraksi kejohanan di luar negara, dan berharap agar membawa balik pingat,” kata Dexter.

Khalil pula ketika ditanya ditemui berkata beliau memang menunggu untuk menyertai kejohanan itu dan berharap akan membuat membuat rekod peribadi terbaik.

Disamping itu, ketiga-tiga mereka sudah bersedia dengan persiapan rapi dari sudut mental dan fizikal yang mencukupi serta disiplin yang tinggi dan konsisten.

Kejohanan tersebut akan berlangsung sehingga Sabtu (27 April) di mana kelima-lima atlet ini dijangkakan akan bertolak ke Kuala Lumpur pada Ahad (21 April) bersama-sama kontinjen negara untuk berlepas ke Dubai nanti.

Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Mansur Asun dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah Mohd Asneh Mohd Noor.