Mayat Pelarian Warga Rohingya Terdampar Di Sempadan Bangladesh

Mayat Pelarian Warga Rohingya Terdampar Di Sempadan Bangladesh

0
SHARE

BANGLADESH – Pengawal sempadan Bangladesh semalam menemui 20 mayat wanita dan kanak-kanak Rohingya yang lemas selepas bot mereka karam ketika melarikan diri daripada keganasan di Myanmar, kata seorang pegawai, dalam pada Dhaka menerima tekanan untuk memberi perlindungan kepada ribuan pelarian yang terkandas di sempadan.

Mayat 11 kanak-kanak dan sembilan wanita Rohingya terdampar di bahagian Bangladesh di Sungai Naf selepas bot mereka karam, kata ketua pengawal sempadan Bangladesh Ariful Islam.

Dua mayat wanita dan dua lagi kanak-kanak Rohingya turut ditemui lewat Rabu selepas bot mereka ditembak Polis Pengawal Sempadan Myanmar.

Memetik kenyataan akhbar Harian Metro, sekurang-kurangnya 27,400 Muslim Rohingya dilaporkan menyeberang ke Bangladesh dari Myanmar sejak Jumaat lalu, menurut sumber Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas pemberontak kumpulan etnik itu didakwa menyerang pos kawalan polis dan pangkalan tentera di Rakhine, sekali gus mencetuskan pertempuran yang setakat ini meragut sekurang-kurangnya 117 nyawa.

Keganasan itu berlaku dalam pada laporan mengatakan penganut Buddha membakar perkampungan Rohingya. Wartawan Reuters semalam melaporkan melihat kebakaran besar di Sungai Naf di sempadan Myanmar.

Sumber mengatakan, kira-kira 20,000 pelarian Rohingya masih terkandas di kawasan lapang antara kedua-dua negara itu, dengan angka itu diramal meningkat sehingga 30,000 semalam dalam keganasan paling teruk terhadap kumpulan minoriti itu sejak lima tahun lalu.

Myanmar memindahkan ribuan penganut Buddha dari Rakhine susulan pertempuran itu yang kebanyakannya mengorbankan orang Rohingya.

Penindasan kira-kira 1.1 juta penduduk Rohingya di Myanmar cabaran terbesar dihadapi pemimpinnya Aung San Suu Kyi, yang dituduh pengkritik Barat gagal mempertahankan mereka.

Sementara itu, lelaki Rohingya di Cox’s Bazar iaitu Mohammed Rashid, 45, berkata, dia cedera ditembak tentera Myanmar ketika menyeberang sempadan bersama kira-kira 100 orang bersama-sama.

“Kami bersembunyi di hutan selama dua hari kemudian dihentikan di sempadan tetapi berjaya melepasinya. Kami diberitahu kampung kami musnah dibakar,” katanya.