Polis Tumpas Dua Kes Syabu di Lahad Datu, Tiga Lelaki Warga Asing...

Polis Tumpas Dua Kes Syabu di Lahad Datu, Tiga Lelaki Warga Asing Ditahan

0
SHARE

LAHAD DATU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjaya menumpaskan dua kes melibatkan pengedaran dan pemilikan dadah jenis syabu menerusi Op Tapis, dengan penahanan tiga lelaki warga asing dalam operasi berasingan di sekitar daerah ini.

Dalam dua operasi berkenaan, polis merampas dadah jenis syabu seberat keseluruhan 58.76 gram dengan nilai pasaran dianggarkan RM6,463.60, selain menyita sebuah kenderaan serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah.

Dalam kes pertama, seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun ditahan di kawasan Terminal Bas Wagon, Bandar Lahad Datu. Hasil pemeriksaan menemukan syabu seberat 6.19 gram yang dipercayai untuk tujuan pengedaran. Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah dan kini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes kedua pula, dua lelaki warga asing berusia 39 dan 40 tahun ditahan selepas pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di Jalan Segama, Lahad Datu. Polis merampas syabu seberat 52.57 gram bersama peralatan yang disyaki digunakan dalam aktiviti pengedaran.

Seorang daripada suspek didapati positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.