KOTA KINABALU: Kakitangan di tiga agensi utama di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah iaitu Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Sabah (SAFMA) tidak perlu bersaing, sebaliknya perlu saling melengkapi antara satu sama lain.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, perkara itu penting agar dapat memastikan setiap peranan yang dilaksanakan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Perikanan Likas bagi mendengar penjelasan serta mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai struktur dan fungsi Jabatan Perikanan Sabah, selain mengenal pasti isu serta mencari penyelesaian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jabatan berkenaan pada Isnin.
Dalam lawatan itu, Jamawi menerima taklimat daripada Pengarah Perikanan Sabah, Datin Dr Shuhada Mustapha dan Penolong Pengarah Kanan Biosekuriti, Matlan @ Abdul Rahim Thaufeck di Bilik Mesyuarat Utama. Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap kementerian, Maria David Edick.
Dalam ucapannya, Jamawi menegaskan hasrat kementerian untuk merakyatkan perkhidmatan, justeru semua agensi di bawah kementerian perlu melaksanakan amanah tersebut secara menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada keperluan rakyat.
Beliau turut meminta Jabatan Perikanan supaya menyediakan keperluan seperti benih ikan dan input berkaitan bagi menyokong pelaksanaan program Jelajah Kebun Dapur yang akan dilaksanakan kelak bagi memperkasa keterjaminan makanan rakyat.
Dalam acara berasingan, Jamawi bersama Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong, menghadiri mesyuarat Koperasi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (KOTANI) sebagai usaha memperkukuh pengurusan dan kebajikan warga kementerian.






