Had RON95 Mungkin Dikurangkan ke 150 Liter Sebulan

Had RON95 Mungkin Dikurangkan ke 150 Liter Sebulan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang untuk mengurangkan kuota subsidi RON95 di bawah program BUDI95 kepada 150 liter sebulan bagi memastikan bekalan bahan api mencukupi.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, data menunjukkan 80 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, manakala 60 peratus berada di bawah 150 liter, menjadikan had baharu itu selaras dengan corak penggunaan semasa.

Beliau berkata, perbelanjaan subsidi bahan api meningkat hampir 10 kali ganda susulan kenaikan harga minyak global akibat konflik geopolitik di Timur Tengah.

Pada masa sama, kerajaan turut mengkaji pengetatan kelayakan subsidi termasuk mengecualikan golongan T20 dan warga asing, selain melihat BUDI95 sebagai alat pengurusan permintaan, bukan sekadar subsidi.

Namun, kerajaan memberi jaminan golongan rentan seperti penunggang motosikal dan isi rumah berpendapatan rendah akan terus menikmati subsidi.

Selain itu, mekanisme subsidi diesel bersasar bagi Sabah dan Sarawak juga sedang dirancang, di samping usaha jangka panjang memperkukuh pengangkutan awam dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api.