KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan dari segi pakaian dan peralatan sekolah kepada anak-anak mangsa kebakaran di Kampung Cempaka Likas yang memerlukan menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan mengenal pasti anak-anak mangsa yang terlibat dengan bantuan Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang terlibat.
“Kita akan kenal pasti, nanti saya minta daripada Ketua Kampung dan JKKK mana anak-anak yang memerlukan bantuan tersebut kita akan bantu melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
“Seperti biasa kita akan bantu mereka untuk memudahkan mereka menjalani pembelajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan bantuan kebakaran Kampung Likas di Dewan Serbaguna Likas di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian pada awal pagi Sabtu lalu, seramai 511 orang mangsa daripada 91 keluarga hilang tempat tinggal, apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Cempaka.
Dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa kebakaran iaitu di PPS Likas yang menempatkan seramai 34 KIR membabitkan 200 penduduk manakala PPS Damai, Luyang seramai 57 KIR dan 311 penduduk.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai rayuan mangsa terjejas di PPS berkenaan untuk dilanjutkan penempatan, Arifin berkata, pihaknya akan berbincang perkara tersebut bersama pimpinan di kawasan berkenaan.
“InsyaAllah, saya akan bincang perkara ini bersama dengan pimpinan di kawasan ini dan jika memerlukan perkara tersebut kita akan beri pertimbangan insyaAllah.
“Tiada masalah. Yang penting mereka dapat menjalani kehidupan sementara dalam bulan Ramadhan ini khususnya,” katanya.
Terdahulu, pada majlis penyerahan sumbangan itu, sebanyak RM91,000 diserahkan MUIS kepada mangsa terjejas kebakaran dimana setiap ketua isi rumah (KIR) akan menerima RM1,000 setiap KIR.
Turut menyerahkan sumbangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau yang masing-masing menyerahkan sumbangan sebanyak RM200.