TUARAN – Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah, meneruskan Jelajah Iftar 2025 ke destinasi ketiga di Tuaran hari ini. Program ini meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli, dan Kiulu dengan tujuan menyantuni golongan yang memerlukan.
Majlis iftar yang berlangsung di Sekolah Rendah Islam Al Hafidz Tuaran dan Masjid Lama Tuaran menyaksikan pengagihan juadah iftar kepada golongan asnaf, orang kurang upaya, ibu tunggal, anak yatim piatu, serta golongan B40. Lebih 400 orang hadir dan 40 penerima sumbangan wang saku raya pada petang kelmarin.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha KTC dan UPPM Sabah untuk membantu golongan kurang berkemampuan di 25 kawasan Parlimen di seluruh Sabah.
Semasa ditemui pemberita, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise, Datuk Jasnih berkata, program ini merupakan inisiatif UPPM dan KTC untuk membantu golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Beliau turut memuji KTC sebagai sebuah syarikat swasta yang prihatin dalam memberi sumbangan kepada masyarakat.
Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Datuk Dexter Lau dan UPPM atas penganjuran program ini. Beliau berharap agar program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini dapat dianjurkan sempena perayaan lain pada masa akan datang serta menjadi satu amalan menjelang musim perayaan.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau menzahirkan kegembiraannya kerana dapat memberi sumbangan kepada masyarakat, terutama melihat keceriaan kanak-kanak ketika membeli-belah untuk Hari Raya. Baginya, kebahagiaan mereka sudah memadai.
Beliau menegaskan bahawa setiap sumbangan, walaupun kecil, tetap bermakna jika dilakukan dengan niat yang ikhlas. Beliau juga berharap agar kanak-kanak ini kelak akan menyumbang kembali kepada masyarakat apabila dewasa.
Semasa menyampaikan ucapan, Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin, menegaskan bahawa sebagai sebuah unit yang bertanggungjawab dalam menyelaras pembangunan di peringkat akar umbi, UPPM Sabah memainkan peranan penting dalam memastikan setiap dasar kerajaan sampai kepada rakyat.
Pihak UPPM Sabah berusaha untuk menjadi penghubung antara masyarakat dan pihak kerajaan bagi memastikan segala keperluan serta permasalahan rakyat mendapat perhatian sewajarnya.
Jelajah Iftar 2025 di Tuaran turut dimeriahkan dengan kehadiran Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap ADUN Kiulu, YB Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Daerah Tuaran, OKK Dato’ Haji Mohd Zain Bin Datuk Hj Dahlan, Ketua Bahagian PGRS Tamparuli, Datuk Alijus Sipil, pemimpin setempat, pegawai kerajaan tempatan, eksekutif KTC, dan wakil UPPM.
KTC telah ditubuhkan pada tahun 1938 dan berkembang menjadi sebuah syarikat kukuh yang berjaya beroperasi selama 89 tahun, merentasi tiga generasi keluarga Lau yang berasal dari Sabah.
Di bawah kepimpinan Datuk Dexter Lau sebagai Pengarah Eksekutif, KTC telah disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2015, sekali gus mencatat sejarah sebagai syarikat FMCG pertama dari Sabah yang disenaraikan di pasaran awam.