KUALA LUMPUR – Penyanyi kelahiran Semporna Sabah, Zizi Kirana, 36, sah bergelar isteri kepada pelakon dan juga model Yusuf Bahrin, 29, hari ini.
Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd Hamid berwakil walikan bapa Zizi sendiri, Mad Tahil.
Majlis pernikahan itu diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja.
Zizi atau nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil menerima mas kahwin senaskah Al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, manakala wang hantaran pula tidak didedahkan.
Penyanyi lagu ‘Eh’ ini dilihat anggun mengenakan persalinan hitam klasik rekaan Shanell Harun dan ditatarias oleh jurusolek terkenal Datuk Alha Alfa.
Pasangan itu mula akrab kira-kira dua bulan lalu selepas sama-sama terlibat dalam program All Together Now Malaysia.
“Kami tak bercakap pun tapi mula bertegur menerusi Instagram pada Aidiladha lalu…
“Alhamdulillah keluarga pun merestui hubungan kami ini, jadi rasanya tak perlulah nak tunggu lama-lama! Sejujurnya sepanjang perkenalan ini, kami hanya berjumpa beberapa kali sahaja kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Kami lebih banyak berkomunikasi menerusi telefon bimbit dan media sosial,” kata Zizi.