Pemandu Lelaki Maut, Pemandu Wanita Selamat dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Tambunan

Pemandu Lelaki Maut, Pemandu Wanita Selamat dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Tambunan

0
SHARE

TAMBUNAN: Seorang lelaki maut manakala seorang wanita selamat dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan berhampiran Servay Jaya Supermarket, Jalan Dabata, di sini pada petang Jumaat.

Mangsa lelaki yang memandu Perodua Alza, dikenali sebagai Simon Jibit, tercampak keluar dari kenderaan akibat perlanggaran dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kemalangan yang dilaporkan pada jam 4.56 petang itu turut melibatkan sebuah Toyota Avanza yang dipandu seorang wanita berusia 38 tahun, Rina Maria Pp Gundorong, yang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan tiba di lokasi pada jam 5.02 petang dan menjalankan pemeriksaan keselamatan serta pengumpulan maklumat di tempat kejadian.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.40 petang selepas disahkan tiada lagi bahaya di kawasan tersebut.