Ewon Tegaskan Kenyataan GLC Disalah Petik, Minta Rujuk Sumber Asal

Ewon Tegaskan Kenyataan GLC Disalah Petik, Minta Rujuk Sumber Asal

0
SHARE

KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, tampil memperjelaskan kenyataan beliau yang didakwa telah disalah petik berkaitan pelantikan politik dan korporat bagi jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sehingga mengundang kritikan terhadap dirinya.

Beliau menegaskan bahawa orang ramai perlu merujuk kepada sumber asal kenyataan, iaitu daripada beliau sendiri, dan bukan hanya bergantung kepada tajuk laporan di portal media yang boleh disalah tafsir serta mengelirukan.

“Semua kenyataan asal saya masih ada di laman rasmi saya. Apa yang saya katakan ialah pelantikan dalam GLC perlu seimbang antara lantikan politik dan profesional korporat.

“Jawatan pengerusi selalunya dipegang oleh wakil rakyat yang dipilih, dan ada juga jawatan yang dipegang secara automatik kerana kedudukan menteri. Siapa pun menterinya, dia juga menjadi pengerusi, sama seperti Perdana Menteri yang menjadi pengerusi Khazanah Nasional, dan Ketua Menteri yang menjadi pengerusi Yayasan Sabah.

“Di peringkat saya, saya telah mencadangkan beberapa tokoh korporat untuk dilantik dalam GLC bagi mewakili industri, persatuan dan komuniti perniagaan, tetapi semua itu mesti melalui proses yang betul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.

Menurut Ewon, kenyataan beliau sebelum ini tidak pernah menolak peranan ahli politik dalam GLC, sebaliknya menekankan keperluan keseimbangan supaya kepakaran profesional dapat dimanfaatkan dalam pengurusan syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan ke jawatan penting dalam GLC tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mengikut prosedur, garis panduan dan keperluan tadbir urus yang baik bagi memastikan keberkesanan serta ketelusan pengurusan.

Dalam pada itu, Ewon berkata beliau tetap berpegang kepada pendirian dan tindakan yang telah diambil sebelum ini, termasuk usaha mencadangkan tokoh-tokoh korporat yang berkelayakan untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui GLC.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak media supaya melaporkan berdasarkan kenyataan penuh dan konteks sebenar, bukannya hanya bersandarkan tajuk yang tidak mencerminkan maksud sebenar kenyataannya.

Katanya, laporan yang tidak tepat bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi individu, malah boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat terhadap dasar dan pendirian sebenar pemimpin politik.