TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kestabilan politik dan pentadbiran negeri merupakan prasyarat utama bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan dan Terima Kasih Daripada Hajiji yang berlangsung di Dewan Seri Sulaman, Tuaran, pada Sabtu.
Menurut Hajiji, sokongan berterusan rakyat, jentera parti serta jentera pentadbiran membolehkan kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan secara terancang, inklusif dan mampan selaras dengan keperluan sebenar rakyat.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah, jentera parti, penjawat awam serta semua pihak yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Hajiji turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh tadbir urus kerajaan negeri serta memastikan pelaksanaan agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dilaksanakan secara lebih berfokus, menyeluruh dan berpaksikan rakyat.
Ketibaan Hajiji bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, disambut meriah dengan persembahan kebudayaan, bacaan doa serta tayangan ucapan khas yang memaparkan mesej penghargaan dan komitmen beliau kepada rakyat Sabah.
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan hiburan daripada artis tempatan dan artis jemputan dari Kuala Lumpur antaranya Rozaimie, Marleynnie, Ray Kimara, MJ Abadey, Misha Omar dan Datuk Jamal Abdillah yang menghiburkan hadirin sehingga ke penghujung acara, sekali gus mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana santai namun penuh bermakna.






