Projek CSR PKK, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran Tubuh Pusat Pembelajaran Green...

Projek CSR PKK, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran Tubuh Pusat Pembelajaran Green Pekan Nabalu

0
SHARE
Madius
Madius mengambil gambar kenangan bersama warga PKK ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat Parlimen Tuaran )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebuah Pusat Pembelajaran Green Pekan Nabalu telah dibina melalui projek khidmat masyarakat (CSR) Politeknik Kota Kinabalu (PKK) di Kampung Nuluhon Pekan Nabalu, Tamparuli.

Pusat yang dijayakan oleh para pelajar dan pensyarah dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran itu antara lain bertujuan untuk memberi pendidikan, pengetahuan, dan kesedaran kepada murid sekolah dan komuniti setempat berkaitan kepentingan penggunaan teknologi hijau.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, di PKK, di sini, pada Khamis.

Berucap pada majlis itu Madius berkata, pusat itu juga akan menjadi platform bagi proses pemindahan ilmu pengetahuan (knowledge-transfer) dari institusi pengajian tinggi kepada komuniti.

“Penubuhan pusat ini antara lain bertitik tolak daripada CSR Politeknik Kota Kinabalu untuk membantu menyediakan sistem bekalan air di beberapa perkampungan di Tuaran.

“Saya sangat tertarik dengan teknologi yang mereka gunakan iaitu menggunakan tenaga solar dan Ram-pump. Untuk itu, saya sendiri telah menyalurkan dana untuk sama-sama menjayakan program ini yang dilihat mampu memberi manfaat kepada penduduk kampung yang terkesan dengan bekalan air.

“Semua pihak, termasuk pelajar politeknik, institusi pengajian tinggi yang lain dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) boleh menggunakan pusat pembelajaran ini untuk memberi kesedaran dan pengajaran tentang teknologi hijau kepada masyarakat,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai projek sistem bekalan air Madius memaklumkan, ia telah pun mula beroperasi iaitu Sistem bekalan air menggunakan Solar di Pekan Nabalu, dan sistem bekalan air menggunakan Ramp – Pump di kampung Bongol dan Kampung Kalawat.

“Pada ketika ini, sistem bekalan air tersebut telah memanfaatkan 32 buah rumah, sebuah klinik, kereja, dan sebuah pusat komuniti,” ujar Pengerusi Sabah Electricity Sdn. Bhd. itu lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PKK, Saril Yusop dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran selama ini.

“Kita berterima khususnya kepada Madius selaku Ahli Parlimen Tuaran kerana sentiasa menyokong CSR yang dilaksanakan PKK.

“Untuk makluman, sebelum ini pihak politeknik juga terlibat dalam CSR Projek Sistem Pengesan Banjir Jambatan Tamparuli 2015, CSR Pendawaian Elektrik di Kampung Timbou pada tahun 2016, dan yang terbaru adalah CSR Pendawaian Elektrik “Tuaran Aspirasiku” di Mukim Tenghilan 16-18 Ogos 2023,” katanya.