KOTA KINABALU, SABAH – Acara renang air terbuka pertama di Sabah anjuran Kinabalu Pink Ribbon (KPR) pada Ahad lalu lepas membuahkan kejayaan yang memberangsangkan dengan hampir kesemua peserta telah menamatkan renang jarak 500m, 2.5km dan 5km dalam masa yang ditetapkan.
Acara yang diadakan di Pantai Tanjung Aru itu merupakan sebahagian daripada program kesedaran kanser payudara KPR untuk mendidik orang ramai tentang pengesanan awal, pilihan rawatan dan sokongan moral yang disediakan untuk pesakit dan mangsa kanser payudara.
Acara itu dirasmikan oleh Presiden KPR, Lucilla Pang, yang amat terharu dengan sokongan padu daripada para peserta, ahli keluarga dan rakan-rakan, terutama sukarelawan yang meluangkan masa untuk memastikan acara tersebut berjalan dengan selamat dan lancar.
“Renang air terbuka adalah mencabar terutamanya bagi mereka yang baru berjinak-jinak.
“Perenang yang berpengalaman sekalipun terpaksa berdepan ketakutan untuk beralih dari kolam ke berenang di lautan,” kata Lucilla.
Beliau menambah bahawa situasi ini boleh dikaitkan dengan wanita yang takut mendapatkan rawatan dan penjagaan kanser mereka.
“Mendapatkan rawatan adalah perkara yang menakutkan bagi kebanyakan wanita yang telah disahkan menghidap kanser payudara terutamanya di kawasan luar bandar.
“Tetapi seperti menyelam ke lautan untuk berenang, ia hanya memerlukan keberanian, kepercayaan dan kemahuan untuk mengambil langkah pertama,” katanya.
Semasa acara itu, peserta terpaksa berenang melawan arus ke pelampung sebelum kembali ke pantai.
“Mudah-mudahan, pesakit dan mangsa kanser payudara dapat mencerminkan pengalaman ini dalam perjuangan mereka sendiri menentang kanser, untuk terus berjuang melawan kemungkinan dan keluar sebagai pemenang,” tambah Lucilla.
Kelab Renang Penampang Preppies yang diketuai oleh jurulatih mereka Benjamin Lee mempunyai jumlah peserta paling ramai dengan Lennox Joibi yang berusia 9 tahun menjadi perenang termuda yang menamatkan 2.5km dengan mudah.
Lim Sat Chu, pada usia 70 tahun, merupakan peserta tertua dan menyempurnakan renangan 500m yang menggembirakan penyokongnya.
Tiga mangsa kanser payudara, Melissa Lim (5km), Lim Syn Yee (2.5km) dan Maggie Lu (500m) gembira apabila melintasi garisan penamat dan berharap penyertaan mereka akan memperkasakan lebih ramai mangsa kanser payudara untuk terus percaya pada diri dan kekuatan mereka.
Carlos Chin Yeh Yuh pertama keluar dari air sebagai pemenang bagi kategori 2.5km manakala Tristan Carreon Chua mendapat penghormatan itu dalam kategori 5km.
Tiga perenang dari Negara Brunei Darussalam turut menjadi antara peserta.
Seramai 21 lagi menyertai secara maya dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah, menunjukkan sokongan mereka dengan renangan sejauh 5km di kolam renang.






