MELBOURNE, AUSTRALIA – Perdana Menteri Australia, Scott Morrison dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan bahawa mereka tidak akan tergesa-gesa untuk membuka semula pintu sempadan antarabangsa bagi mengelakkan timbulnya sebarang risiko meningkatnya jangkitan wabak COVID-19 di negara itu.
Australia menutup sempadan kepada semua pengunjung warga asing dan penduduknya di luar negara pada Mac tahun lalu.
Namun, hanya beberapa bulan kebelakangan ini kerajaan negara itu membenarkan ketibaan pelawat antarabangsa secara terhad, kebanyakannya rakyat Australia pulang dari luar negara.
Penutupan sempadan dan sekatan pergerakan mendadak, penjejakan kontak yang pantas dan pematuhan tinggi langkah-langkah sekatan dalam masyarakat, menjadikan Australia satu daripada negara di dunia yang berjaya membendung pandemik itu, menurut agensi berita MediaCorp.
Australia mencatatkan sekitar 29,500 kes COVID-19 dan 910 kematian.
“Australia tidak tergesa-gesa untuk membuka semula sempadannya, saya jamin,” kata Morrison dalam satu taklimat yang disiarkan.
“Saya tidak akan meletakkan cara kehidupan yang kita sedang jalani di negara ini, dalam risiko. Kita amat berbeza dengan negara-negara yang lain hari ini,” katanya.