KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor hari ini melancarkan Fasa Kedua Program Imunisasi COVID -19 Kebangsaan yang bermula pada bulan April sehingga Ogos 2021.
Ketua Menteri diwakili oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya.
Golongan berumur 60 tahun dan ke atas antara yang menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNtech pada hari ini.
Hajiji berkata, bagi negeri Sabah, seramai 268,000 penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua ini membabitkan warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas.
“Pada masa yang sama, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berisiko tinggi yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, penyakit darah tinggi juga dikenalpasti sebagai penerima vaksin COVID-19,” katanya.
Beliau sekali lagi meminta rakyat di Sabah supaya mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 fasa kedua ini khususnya mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

“Saya berharap kita semua tidak berasa lalai dan leka kerana keadaan pandemik ini tidak stabil. Justeru rakyat yang layak menerima vaksin COVID-19 diminta mendaftar untuk mendapatkan suntikan percuma…
“Ini bagi menyokong usaha kerajaan mengekang penyebaran virus COVID-19 dan membentuk imuniti kelompok. Selain itu, paling penting jaga SOP dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.
Hajiji berkata, seramai 426,934 orang sudah mendaftar atau kira-kira 14.60 peratus setakat 17 April 2021, di negeri ini.
“Bagi tempoh yang sama, seramai 50,780 orang sudah menerima suntikan Dos 1 manakala 42,115 orang untuk Dos 2, bagi fasa 1 di negeri ini,” katanya sambil menambah sehingga kini, kerajaan negeri menyediakan sebanyak 212 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri.
Dalam fasa pertama, pencapaian 100 peratus liputan pemberian imunisasi COVID-19 kepada 42,117 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bukan KKM dan Kakitangan Bukan Kesihatan.
Pemberian imunisasi ini turut diperluaskan kepada 8,546 anggota Perkhidmatan Perlu (Essential Services).
Kerajaan menyediakan lima kaedah pendaftaran menerusi dalam talian atau secara manual untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di negara ini.
Selain menerusi aplikasi MySejahtera, pendaftaran penerimaan vaksin COVID-19 kini boleh dilakukan menerusi laman web rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID (JKJAV) di laman sesawang www.vaksincovid.gov.my, pendaftaran di klinik dan hospital awam serta swasta, panggilan ke talian hotline 1800-888-828 dan pendaftaran secara temu seru (outreach).