Program Jerayawara MUTIARA GRS Dipelbagaikan

Program Jerayawara MUTIARA GRS Dipelbagaikan

0
SHARE

KENINGAU, SABAH – Yang Dipertua MUTIARA GRS Datin Seri Panglima Juliah Salag berkata Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) akan terus mempelbagaikan pengisian program jerayawara siri penjelajahan keempat.

Julia yang juga isteri Ketua Menteri berkata, selepas membawa isu berkaitan kesihatan khususnya dalam kalangan wanita, program yang dilaksanakan di Zon Keningau kali ini memfokuskan kepada Program Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak atau PEKA.

Menurut beliau, menerusi program berkenaan, ia dapat memberi pendidikan, pendedahan dan kesedaran dalam kalangan ibu bapa, penjaga serta masyarakat mengenai isu keselamatan anak, pencegahan kemalangan, kemahiran menyelamat dan asas rawatan kecemasan serta kepentingan menjaga keselamatan keluarga dalam alam siber.

“Soal keselamatan keluarga tidak boleh dipandang remeh kerana hari ini pelbagai indikator digunakan oleh penjenayah untuk mengganggu-gugat serta mengancam keselamatan keluarga. 

“Ini termasuklah melalui aplikasi WhatsApp, panggilan telefon, pertemuan alam maya menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan segala bentuk aplikasi sosial yang boleh menghubungkan kita dengan orang yang tidak dikenali.

“Perkongsian daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memfokuskan aspek keselamatan atas talian serta demo bantuan pernafasan (CPR) sebagai tindakan awal menyelamatkan seseorang sekiranya berlaku kecemasan di rumah, adalah satu pengisian yang amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jerayawara Keluarga Malaysia PEKA @Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Zon Keningau bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor dan Liawan sempena Sambutan Hari Bapa di Dewan Terbuka Taman Bandukan Bingkor di sini hari ini.

Program berkenaan adalah kerjasama antara MUTIARA GRS dan LPPKN Sabah.

Juliah berharap, semua ilmu yang diperoleh akan menjadikan ibu bapa lebih sensitif, berwaspada dan meningkatkan keselamatan anak di mana sahaja mereka bagi mengelak menjadi sasaran penjenayah.
 
“Ibu bapa juga perlu memelihara nilai juga mulia dalam kalangan anak mereka dengan memupuk, mendidik dan mendisiplinkan anak supaya dapat melahirkan insan yang lebih prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.

Sempena program itu, pelbagai perkhidmatan LPPKN termasuk pemeriksaan kesihatan diadakan. Pusat Keluarga Bergerak LPPKN juga mengadakan Pendaftaran Subsidi Mamogram dan Pemeriksaan HPV DNA kepada wanita yang berkelayakan mengikut syarat yang ditetapkan.