
SANDAKAN, SABAH – Klip video tular di media sosial yang menunjukkan seolah-olah dua orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima rasuah daripada orang awam dikatakan berlaku di Harbour Mall, di sini, pada pada Selasa lepas sedang disiasat.
Dalam klip rakaman dengan durasi 15 saat itu, seorang anggota dilihat memberi isyarat kepada orang awam terbabit untuk memberikan ‘rasuah’ itu kepada rakan sekerjanya.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek mengesahkan menerima maklumat berkait video berkenaan dan siasatan oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan sedang dijalankan.
“Ianya bagi mengenalpasti jika ada sebarang salah laku yang dilakukan oleh anggota berkenaan.
“Sekiranya ada bukti, pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada anggota terlibat dan juga pihak pemberi,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau menyeru kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan untuk berhubung dengan Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard IPD Sandakan, ASP Mohammed Noor Zaid Zainuddin, di talian 0133811239.





