Zahid Sahkan Terima Surat Peletakan Jawatan Ketua Menteri Melaka

Zahid Sahkan Terima Surat Peletakan Jawatan Ketua Menteri Melaka

0
SHARE
Sulaiman
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Ketua Menteri Melaka )

BENTONG, PAHANG – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sekali gus menamatkan khabar angin politik yang melanda pentadbiran negeri itu, semalam.

Memetik sumber Berita Harian, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata Sulaiman menyerahkan surat itu ketika pertemuan di Parlimen, Selasa lepas.

“Saya mengesahkan bahawa saya sudah menerima surat peletakan jawatan daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

“Saya akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam untuk mengemukakan nama yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu.

“Saya harap Yang Dipertua Negeri menerima dan mempertimbangkan nama-nama yang saya kemukakan (Ketua Menteri baharu) dan tarikh majlis angkat sumpah akan diputuskan oleh Yang Dipertua Negeri,” katanya.

Beliu berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan program ‘Santunan Kasih Ramadan’ Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Al-Falah Kampung Lebu, semalam.

Dalam pada itu, ditanya mengenai khabar angin Ab Rauf akan dipilih untuk jawatan tertinggi kerajaan negeri itu, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak boleh mengesahkan atau menafikannya.

“Lebih baik tunggu pengumuman daripada negeri itu,” katanya.

Mengenai perbincangan peletakan jawatan Sulaiman akan membuka jalan kepada Kerajaan Perpaduan di Melaka, Zahid berkata, ia boleh berlaku tetapi semua orang perlu menunggu perkembangan apabila Ketua Menteri baharu akan mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pertama selepas Aidilfitri.

Sebelum ini, media melaporkan Sulaiman dijangka meletak jawatan dengan nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kembali disebut bakal dilantik sebagai Ketua Menteri baharu.