Pelihara Semangat Perpaduan, Jaga Sensitiviti Agama – Nizam

Pelihara Semangat Perpaduan, Jaga Sensitiviti Agama – Nizam

0
SHARE
Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Orang ramai diseru untuk terus kekal memelihara semangat perpaduan antara kaum serta sentiasa menjaga sensitiviti agama di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sejak beberapa hari lepas, ada individu tidak bertanggungjawab cuba menggugat keharmonian kaum dengan melakukan penghinaan terhadap agama Islam.

“Sudah tentu kita tidak boleh berkompromi dengan tindakan yang mampu menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negeri kita.

“Rakyat Sabah haruslah sentiasa memiliki sifat hormat-menghormati dan memelihara toleransi yang telah terjalin sejak sekian lama.

“Toleransi dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama telah menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas sekali lagi menyeru rakyat Sabah supaya tidak melakukan apa-apa bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama atau kepercayaan

“Menyentuh isu-isu berkaitan 3R (Agama, Bangsa, Institusi Diraja) bukan sahaja akan mencemarkan prinsip perpaduan, ia juga akan menyebabkan pelaku berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Tambah Nizam, seruan ini selaras dengan amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan pihak yang mahu menyemai bibit perpecahan dan mencabar Perlembagaan tidak lagi boleh dibiarkan.

“Apa yang penting, umat Islam tidak melakukan apa-apa tindakan di luar lunas undang-undang dalam menangani hal ini, kita perlu menyerahkan hal ini kepada pihak berkuasa.

“Saya difahamkan individu berkenaan telah berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut. Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan dan berharap perkara seperti ini tidak lagi akan berulang,” tegasnya.

Terdahulu, tular di media sosial, seorang lelaki bernama Ricky Shane CA dalam laman Facebooknya dikesan memuat naik kata-kata penghinaan terhadap kalimah Allah menerusi ruang komen.

Turut tular juga satu video memaparkan sekumpulan individu menunggu suspek di luar pintu masuk ke lobi lif sebuah kondominium yang menjadi tempat tinggal suspek.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan menerima laporan mengenai perkara itu dan lelaki terbabit sudah pun dipanggil ke balai polis semalam untuk pertanyaan awal.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.