Kastam Sabah Rampas Syabu Bernilai Lebih RM300 Ribu di Tawau

Kastam Sabah Rampas Syabu Bernilai Lebih RM300 Ribu di Tawau

0
SHARE
JKDM Zon Sabah rampas dadah jenis syabu di Tawau

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merampas dadah jenis syabu seberat 10.79kg (kilogram) dalam satu serbuan di sebuah premis penghantaran barang di Jalan Bakau, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, sebaik menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan peenghantaran barang, serbuan telah dibuat oleh Pasukan Operasi Penguatkuasaan JKDM Tawau ke premis berkenaan pada tengah hari 9 Mac lalu.

Katanya, hasil serbuan ke atas premis berkenaan menemukan satu kotak berwarna coklat dengan perihal barang yang ditulis sebagai peralatan memancing.

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak berkenaan pula menemukan sejumlah 10 bungkusan plastik bertulis ‘168 Fresso-Dried Durian’ mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan lanjut seterusnya mendapati semua dadah berkenaan adalah seberat 10.79kg dan dianggarkan bernilai RM356,070,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Modus Operandi (MO) bagi sindiket ini, Mohd Nasir berkata, adalah membawa dadah berkenaan menggunakan perkhidmatan penghantaran barang melalui jalan darat daripada Kota Kinabalu ke Tawau.

“Sindiket juga hanya meletakkan alamat penerima sahaja untuk tujuan ‘self collect’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Berikutan serbuan itu, selain rampasan dadah, pengurus syarikat penghantaran barang terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Berdasarkan jumlah berat dadah yang dirampas itu, pihak JKDM Zon Sabah berjaya membanteras pengedaran dadah kepada lebih 50,000 penagih.

Orang ramai turut digesa supaya membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan melibatkan rokok, minuman keras, dadah dan lain-lain.