U-Science UMS Terima 30 Unit Pameran Interaktif MTE

U-Science UMS Terima 30 Unit Pameran Interaktif MTE

0
SHARE
Arthur
Arthur (tengah) ketika melakukan gimik penyerahan pada program tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – U-Science Universiti Malaysia Sabah menerima 30 unit pameran interaktif Mobile Thematic Exhibition (MTE) dari Pusat Sains Negara (PSN).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata ini merupakan inisiatif PSN dibawah MOSTI dalam meluaskan jangkauan program Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) kepada masyarakat.

“Program PSN Satelit ini menawarkan pengalaman pusat sains berskala kecil dan pameran bertema meliputi zon Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Ia dilengkapi dengan persekitaran interaktif, bahan pameran hands-on, teks saintifik dan maklumat berbentuk grafik bagi menarik minat orang ramai kepada STI.

“Bahan pameran yang berkonsepkan astronomi, cabaran minda dan fizik ini dijangka memberi banyak manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya pada Majlis Penyerahan Mobile Thematic Exhibition (MTE) Pusat Sains Negara kepada U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Khamis.

Tambah Arthur, program tersebut diwujudkan bagi memastikan masyarakat dapat memanfaatkan teknologi, produk dan perkhidmatan STI untuk meningkatkan lagi minat anak-anak muda kepada bidang Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM).

“Pengalaman pembelajaran sains yang lebih menyeronokkan ini mampu mencetus rasa ingin tahu, daya kreativiti, inovasi dan seterusnya memberi inspirasi kepada pelajar untuk meminati bidang STEM.

“Diharap inisiatif Program PSN Satelit ini akan dapat memantapkan usaha pembudayaan dan mempromosikan STI di Malaysia secara holistik serta memberi manfaat dan impak yang besar dalam melahirkan lebih ramai generasi yang memilih bidang STEM,” ujarnya.

Hadir sama, Pengarah PSN, Mismah Jimbun,Pendaftar UMS Sabah, Luqman Ridha Anwar dan Ketua Pustakawan UMS, Mohd Sazali Mohd Salleh. — JABATAN PENERANGAN SABAH