MELAKA – Barisan Nasional (BN) beri tumpuan kepada penyelesaian berkaitan isu yang membelenggu rakyat dan merancakkan semula ekonomi peniaga kecil di Melaka, demikian antara fokus utama parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dilancarkan semalam.
Sebanyak 103 manifesto BN telah dilancarkan yang mana salah satu yang digariskan adalah menyediakan peruntukan bernilai RM931.2 juta bagi mengatasi banjir di negeri ini dalam tempoh lima tahun.
Ia membabitkan pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah fasa satu, RTB Sungai Duyong, RTB Bandar Merlimau, RTB Bandar Jasin, RTB Sungai Melaka fasa satu dan RTB Krubong-Durian Tunggal.
Selain itu, penyediaan ‘peta hazard’ banjir Lembangan Sungai Duyong serta pembangunan Pelan Induk Tebatan Banjir lembangan Sungai Baru Melaka di sini.
Dalam perincian buku manifesto dibentangkan itu, BN menyasar mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan setiap tahun.
Selain itu, tumpuan dilaksana untuk memperbanyakkan tempat berniaga dengan infrastruktur asas lengkap, di samping menyediakan insentif dan bantuan modal untuk usahawan dan peniaga.
“Meneruskan semua inisiatif bagi membantu peniaga yang terkesan akibat COVID-19. Meminda peraturan dan undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memudahkan urusan permohonan dan kelulusan lesen perniagaan…
“Membangunkan nelayan laut dalam serta mewujudkan insentif sara hidup nelayan, petani dan penternak,” menurut kandungan manifesto BN tersebut.
Dalam pada masa yang sama, manifesto itu turut memastikan peluang pendidikan sama rata diberi kepada anak Orang Asli dan mewajibkan kanak-kanak Islam mendapatkan pendidikan sekolah rendah agama negeri.
“Memperkasa pelancongan kesihatan untuk menjadikan Melaka sebagai wilayah kesihatan serantau, selain diskaun kepada petugas barisan hadapan bagi kos rawatan di hospital swasta (berkaitan COVID-19),” menurut kandungan manifesto itu lagi.





