KOTA KINABALU, SABAH – Permintaan ikan air tawar yang tinggi sepanjang tahun di Sabah menjadikan aktiviti penternakannya suatu usaha niaga lumayan.
Teknologi moden yang ditawarkan Nani Trading hanya memerlukan halaman rumah dengan keluasan 10×9 kaki untuk memiliki sebuah kolam ikan kanvas yang mampu menjana pendapatan sehingga RM 6,000 sebulan.
Kerjasama Nani Trading dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membolehkan pinjaman modal permulaan sebanyak RM 5,000 dimanfaatkan oleh sasaran 400 peserta Sahabat AIM di seluruh Sabah khususnya yang berpendapatan rendah.
Pengurus AIM Wilayah Sabah, Jahinin Siman berkata, meskipun Sabah mempunyai anggota Sahabat teramai di Malaysia dengan 56,870 individu, mereka masih jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan pembiayaan berbanding negeri lain.
“Kita sedar masalah utama dihadapi Sahabat adalah pasaran dan kesesuain projek dan oleh kerana itu AIM mewujudkan konsep projek yang mudah dan berisiko rendah seperti ini,” katanya.
Menurutnya, jumlah peserta Sahabat AIM Kelantan Utara hanya 25,397 namun jumlah modal pinjaman dan ekonomi jauh lebih tinggi iaitu RM 220 juta setahun berbanding hanya RM 99 juta bagi Sabah Barat.
“Masing-masing 100 peserta dari daerah Tuaran, Beaufort dan Penampang akan dijangka menurut serta. Ramai daripada mereka telah menunjukkan minat…
“Mereka hanya perlu beranikan diri…keterjaminan pasaran juga menjadi masalah tetapi Nani Trading akan membantu dalam aspek itu dengan membeli semula ikan yang ikan yang matang,” katanya.
Mengulas lanjut, Pengarah Urusan Nani Trading, Chuah Seng He berkata penglibatan dirinya selama 17 tahun dalam industri penternakan ikan air tawar mendapati sebab utama pengusaha menarik diri kerana tiada sokongan teknikal.
“Kami akan sentiasa memberikan perkhidmatan mengajar secara percuma kepada semua peserta dari A sehingga Z iaitu sehingga mereka berjaya…
“Pakej yang kami tawarkan adalah kelengkapan penuh termasuk benih ikan bagi yang baru mahu belajar. Risikonya sangat rendah dan peralatan boleh diguna semula.
“Tidak perlu membina kolam simen, hanya perlu korek tanah…kalau tidak mampu jual di tamu atau secara kaedah atas talian, kami akan membelinya semula,” katanya sambil menambah perusahaan berkait makanan jarang gagal.
Beliau berkata, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) permintaan ikan air tawar meningkat sehingga ia terpaksa diimport dari negeri jiran.
“Tidak seperti ikan air masin di mana bekalannya bergantung kepada cuaca di laut, ikan air tawar mampu kekal di pasaran sepanjang tahun,” tambahnya.
Chuah berkata sebuah kolam kanvas boleh menampung 1000 ekor ikan keli isi 1000 keli atau 500 ikan tilapia.
“Ikan keli mengambil masa 40 hingga 90 hari untuk matang manakala tilapia mengambil 4 bulan…
“Harga pasaran semasa bagi tilapia adalah RM 10 sekilo dan RM 5 seekor bagi ikan keli,” jelasnya.





