Sebanyak 28 NGO Terima RM140, 000 Geran Aktiviti -James

Sebanyak 28 NGO Terima RM140, 000 Geran Aktiviti -James

0
SHARE
James
James (kanan) meluangkan masa melawat gerai-gerai yang dibuka pada majlis tersebut ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 28 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita menerima geran aktiviti berjumlah RM 140,000.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata geran aktiviti (RM5,000) tersebut diberikan kepada setiap 28 NGO yang memohon pada awal tahun 2023.

“Untuk tahun 2024, permohonan akan dibuka pada Januari depan, oleh itu semua NGO Wanita yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dipelawa untuk memohon mengikut kriteria yang akan dimaklumkan kelak,” katanya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Geran Aktiviti kepada NGO Wanita Yang Berdaftar di Bawah Jhewa Dan Perasmian Info Room Usahawan Wanita, pada Selasa.

Pada majlis tersebut, James turut memperkenalkan Info Room Usahawan Wanita sebagai medium penyaluran maklumat berkesan daripada agensi-agensi yang lain.

“Inisiatif tersebut selaras dengan pengumuman saya pada 12 Jun 2023 yang lalu agar JHEWA mewujudkan medium menyalurkan maklumat berkaitan bantuan dan kemudahan kepada usahawan khususnya kepada wanita di Sabah sempena pelancaran sistem D-Ledger.

“Info Room Usahawan Wanita akan diadakan secara berterusan pada masa akan datang agar menjadi inspirasi mereka untuk mendapatkan ilmu keusahawanan dan memantapkan lagi kemahiran dalam bidang ini.

“Pada tahun hadapan, Info Room Usahawan wanita akan diadakan pada Mac, Jun dan September serta diharapkan agensi yang berkaitan dapat bersama-sama berkumpul untuk menyampaikan perkhidmatan berkenaan keusahawanan,” jelasnya.

Selaku penggerak Program Modal Insan di bawah KPMKR, melalui JHEWA – Info Room Usahawan Wanita diharap mampu merealisasikan harapan kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan.

Penerima geran aktiviti antaranya ialah Persatuan Ibu Tunggal Tenghilan, Persatuan Tadika Sabah, Persatuan Ziarah Qaseh Wanita Sabah, Pertubuhan Industri Kecil Dan Sederhana Wanita Lahad Datu dan Kelab Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan Ranau Sabah, Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah dan Persatuan Srikandi Pertiwi Negeri Sabah.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng, SUT Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Maria Chong, Pengarah Jhewa, Haslinda Ismail dan Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Ali Hassan. — JABATAN PENERANGAN SABAH