KBS Sabah Pergiat Pembangunan Sukan Akar Umbi

KBS Sabah Pergiat Pembangunan Sukan Akar Umbi

0
SHARE
Ellron
Ellron (tiga dari kiri) menunjukkan tanda bagus selepas menyampaikan hadiah bagi kategori Anugerah Persatuan Sukan Terbaik kepada Persatuan Karate Sabah diwakili Setiausaha Agungnya Julian Chin (dua dari kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Negeri Sabah terus mempergiatkan pembangunan sukan hingga akar umbi menerusi penganjuran kejohanan sukan di pelbagai peringkat.

Menteri KBS Sabah, Datuk Ellron Angin berkata antara kejayaan yang membanggakan sepanjang tempoh dua tahun yang lalu melalui usaha ini adalah menjadi juara keseluruhan di Temasya Sukan PARA SUKMA Ke-8 2022 di Kuala Lumpur.

“Kontinjen negeri bukan sekadar melepasi sasaran 40 pingat emas tetapi juga memperlihatkan kehebatan dengan memenangi 54 pingat emas, 36 pingat perak dan 35 pingat gangsa.

“Di temasya itu atlet-atlet kita mencatat peningkatan pencapaian 18 pingat emas berbanding temasya 2018 di Perak, di mana ketika itu Sabah muncul selaku naib johan keseluruhan.

“Sukan SEA Ke-31 2021 yang ditunda ke tahun 2022 di Hanoi, Vietnam, atlet-atlet negeri Sabah berjaya memenangi empat pingat Emas, empat pingat Perak dan 11 pingat Gangsa untuk kontinjen Malaysia.

“Manakala di temasya Sukan PARA ASEAN Ke-11 2022 di Surakarta, Indonesia , atlet-atlet kita berjaya membawa pulang 8 pingat Emas dan 1 pingat Perak.

“Selain itu, semasa Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 2022 di Kuala Lumpur, kontinjen Negeri Sabah berjaya membawa pulang 30 pingat Emas, 29 pingat Perak dan 39 pingat Gangsa untuk kekal di tangga ke-6 dari jumlah 15 pasukan yang bertanding,” katanya pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2021-2022 di sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ke-70 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di sini, pada Selasa malam.

Menurut Ellron, bagi memastikan kesinambungan kejayaan-kejayaan tersebut, KBS Sabah turut menjalankan program kolaborasi bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai usaha melahirkan atlet-atlet berkualiti tinggi yang mampu menyumbangkan pingat bagi kontinjen negara menerusi pendekatan sains dan teknologi.

“Hari ini, kita tidak semata-mata bergantung kepada usaha latihan rutin untuk menjadi juara, tetapi khidmat sains dan teknologi dilihat telah menjadi satu elemen pembangunan sukan yang sangat penting dan telah terbukti keberkesanannya.

“Kementerian saya juga telah mewujudkan Pusat Latihan di Sekolah Sukan Malaysia Sabah dalam pendekatan kita untuk memastikan Sabah terus melahirkan atlet berpotensi yang berkeupayaan untuk mewakili negeri dan negara,” ujarnya.

Dalam majlis yang dihadiri Tun Juhar serta isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni itu, sebanyak 14 anugerah sukan telah di disampaikan kepada para penerima yang telah mengharumkan nama negeri dan negara dalam pelbagai acara sukan yang dipertandingkan sepanjang tahun 2021 hingga 2022.

Hadir sama, Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M. Yahya serta isteri, Datin Noraini Salleh, Datuk Dr Joachim Gunsalam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan serta Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan. — JABATAN PENERANGAN SABAH