
KOTA KINABALU, SABAH – Hasil pemeriksaan dan pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah di bandaraya ini mendapati bekalan ayam mencukupi dan dijual pada harga yang berpatutan serta tidak berlaku sebarang pembelian panik.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas bersama sepasukan anggota penguat kuasa telah menjalankan pemeriksaan di Pasar Besar Kota Kinabalu dan pasar raya berdekatan sempena hari pertama apungan harga ayam bermula semalam.
Beliau berkata aktiviti itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi memastikan peniaga tidak mengambil keuntungan tinggi dan tidak munasabah dan memanipulasi harga ayam di peringkat peruncit.
“Peniaga juga didapati mematuhi perundangan di bawah seliaan KPDN dan barangan keperluan asas dan barang kawalan yang lain ada di pasaran.
“Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah akan sentiasa berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sebagai langkah memastikan keberadaan bekalan di pasaran mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga yang berpatutan.
“Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah juga dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran kepada para peniaga supaya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan perniagaan yang beretika,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Untuk rekod, setakat bulan Januari hingga 31 Oktober 2023, KPDN Sabah telah memeriksa sebanyak 68,400 premis di seluruh negeri.
Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 1,162 kes telah dihasilkan atas pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun sebanyak RM189,450, nilai rampasan sebanyak RM 5,608,408 dan nilai denda sebanyak RM123,000.