KOTA KINABALU: Gotong-royong pembersihan di sekitar Pasar Pekan Tanjung Aru oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu bersama para penjaja menjadi simbolik kepada kerjasama erat yang terjalin di antara mereka.
DBKK dalam satu kenyataan berkata, kerjasama erat itu khususnya dalam memastikan kebersihan pasar sentiasa terjamin sekali gus meningkatkan keselesaan para pengunjung yang datang membeli keperluan harian.
“DBKK melalui Jabatan Pelesenan dengan kerjasama erat para penjaja telah menjayakan program gotong-royong pembersihan di sekitar Pasar Pekan Tanjung Aru, pada 28 Mac lalu.
“Program yang telah berlangsung bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi ini telah melibatkan usaha sama daripada seramai 24 orang.
“Mereka terdiri daripada lapan orang penjaja serta 16 kakitangan DBKK daripada Jabatan Pelesenan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya.
“Kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan adalah tertumpu kepada kawasan di sekitar kaki lima dan bumbung bangunan Pasar Pekan Tanjung Aru,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Selain daripada itu, mereka turut membersihkan ‘roller shutter’, kipas dinding dan persekitaran kawasan meja penjaja.