Pindaan Ordinan Buruh Sabah Dijangka Dibentangkan Dalam Sesi Parlimen Akan Datang

Pindaan Ordinan Buruh Sabah Dijangka Dibentangkan Dalam Sesi Parlimen Akan Datang

0
SHARE
Mustapha
Mustapha ketika sidang media ( Sumber Foto: Ihsan KSM )

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) (OBS) dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud.

Memetik sumber Bernama, beliau berkata, Jabatan Peguam Negara sedang meneliti draf Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2023 dan akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapat persetujuan sebelum dibawa ke Parlimen.

“Kementerian memperhalusi pindaan kali ini supaya ia mengambil kira kepentingan dan kondisi semua pihak membabitkan 187,000 majikan yang sedang beroperasi serta kebajikan 2.038 juta pekerja di Sabah.

“Sekiranya ini diluluskan Parlimen, sudah pasti hak dan faedah yang akan dinikmati majikan serta pekerja di Wilayah Sabah setara seperti dinikmati pekerja di Semenanjung,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, semalam.

Mustapha berkata, sejak 1965, OBS hanya dipinda sekali iaitu pada 2005 berbanding Akta Kerja 1955 yang dipinda sebanyak 12 kali.

Beliau berkata, cadangan pindaan turut membabitkan penyelarasan peruntukan mengikut OBS dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang terpakai serta berkuat kuasa di Semenanjung, bersesuaian dengan pemakaiannya di Sabah.

“Antara 16 perkara dicadang dipinda pula adalah memperkukuh peruntukan berkaitan liabiliti pembayaran gaji, gangguan seksual, larangan diskriminasi, menambah baik peruntukan berkaitan kanak-kanak dan orang muda selain meningkatkan tempoh cuti bersalin dan pemberian cuti paterniti,” katanya.