LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan polis selepas bertindak agresif dan mengugut mahu membunuh bapanya menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian di Kampung Jawa, Jalan Segama, petang kelmarin.
Menurut pihak polis, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang apabila suspek berang setelah mengetahui gitar miliknya telah dipinjamkan oleh bapanya kepada sepupu mereka.
Akibat tidak berpuas hati, suspek mengamuk dan mengugut warga emas berusia 75 tahun itu di dalam rumah mereka.
Bertindak atas laporan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu melancarkan Op Cantas pada jam 11 malam hari yang sama.
Hasil operasi berjaya membawa kepada penangkapan suspek serta rampasan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail mengesahkan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Selain itu, semakan turut mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan berkaitan dadah dan jenayah kekerasan.
“Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Lahad Datu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengugut dengan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam menangani konflik keluarga, sebaliknya menghubungi pihak berkuasa bagi mengelakkan insiden yang lebih buruk.






