KOTA KINABALU: Kira-kira 600,000 isi rumah di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka mengalami gangguan bekalan elektrik secara bergilir bermula 1 hingga 7 Ogos ini, susulan kerja-kerja penyelenggaraan oleh Petronas di platform gas luar pesisir dan terminal darat (onshore).
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SE), Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, gangguan itu berpunca daripada pemberhentian sementara penyaluran gas kepada dua loji janakuasa bebas (IPP) utama di Kimanis – Kimanis Power Sdn Bhd (255MW) dan SPR Energy (100MW).
“Berdasarkan maklumat terkini, kedua-dua loji berdepan kesukaran untuk bertukar operasi daripada gas kepada diesel seperti yang dirancang, menyebabkan pengurangan kapasiti bekalan tenaga sebanyak 195MW,” katanya dalam sidang media khas di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, pelan peralihan tenaga telah dirancang awal tahun ini bersama Suruhanjaya Tenaga, ECOS dan Petronas, namun hanya dimaklumkan malam tadi bahawa satu unit utama di Kimanis dan keseluruhan loji SPR tidak dapat beroperasi menggunakan diesel.
Susulan itu, katanya, pihak SESB tiada pilihan selain melaksanakan catuan bekalan secara besar-besaran, melibatkan hampir 200,000 pengguna berdaftar dengan tumpuan khusus pada waktu puncak antara jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
“Catuan akan dilaksanakan secara berjadual mengikut kawasan, dengan purata gangguan antara satu hingga dua jam setiap hari. Kami sedar ini memberi kesan kepada rakyat, justeru kami mohon kerjasama semua untuk bersabar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merayu kepada Petronas agar menangguhkan kerja-kerja penyelenggaraan ke tarikh yang lebih sesuai, mengambil kira cuaca panas semasa dan keperluan tenaga yang tinggi di negeri ini.
Katanya, satu mesyuarat penting antara ECOS dan Petronas dijadualkan berlangsung petang tadi bagi membincangkan semula langkah yang perlu diambil, dan keputusan mesyuarat itu akan menentukan sama ada catuan dapat dielakkan.
Sementara itu, Sabah Electricity turut menasihatkan pengguna agar merancang penggunaan elektrik secara bijak dan mengikuti maklumat rasmi yang dikeluarkan dari semasa ke semasa berkaitan jadual catuan bekalan.






