TAMPARULI, SABAH – Monggiland, dengan ketinggian 121 kaki, merupakan salah satu denai ngarai terbaik di Sabah untuk peminat mendaki.
Terletak di Kampung Kelawat, di sini, Eko-Pelancongan Air Terjun Monggiland yang serba baharu membuka laluannya kepada pendaki pada 2019.
Laluan gelung membawa pejalan kaki menuruni bukit dengan santai, melepasi ladang dan rumah kampung sebelum membawa mereka ke laluan hutan.
Pengunjung boleh menikmati pemandangan sembilan air terjun yang berbeza iaitu Bermusim, Tutuhunon, Munduk Sirung, Pangoh, Nagas, Monggiland, Taralasak dan Dupil.
Pengerusi Eko-Pelancongan Air Terjun Monggiland Rubby James berkata laluan Taralasak dan Dupil hanya ditemui awal tahun ini, sambil menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 20 air terjun tersembunyi di dalam hutan yang subur itu.
“Orang ramai datang ke sini untuk merasai pengalaman mendaki, menyusuri air terjun Monggiland, dan berenang menyegarkan diri dalam kolam.
“Bagi pendakian yang lebih mudah, mereka boleh melakukannya di air terjun Nagas, yang berketinggian kira-kira 60 kaki.
“Pengembara asing juga telah datang untuk menerokai denai Monggiland pada 2019. Bagaimanapun, ketika ia mula mendapat tarikan, kami terpaksa menutup laluan itu kerana pandemik,” katanya.
Sejak laluan itu dibuka semula pada Ogos tahun lalu, Rubby, yang juga anggota pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR), menyedari jumlah pengunjung semakin meningkat.
Katanya, mereka telah membimbing pejalan kaki seawal usia enam tahun, justeru denai itu sesuai untuk pejalan kaki dari semua peringkat kemahiran.
Nama Monggiland berasal daripada pokok kayu yang tumbuh di kawasan tersebut. Jika mereka bernasib baik, pejalan kaki boleh melihat beruang di atas pokok selain rusa bekeliaran.
Sabtu lepas, Pembatu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai meraikan kira-kira 100 pendaki untuk melancarkan Eko-Pelancongan Air Terjun Monggiland.
Menurutnya, banyak peluang mendaki Sabah menjadikannya destinasi ideal untuk pelancong eko dan pengembara.
Beliau menambah laluan mendaki Monggiland merupakan tambahan yang dialu-alukan ke kawasan itu kerana laluan itu dihubungkan dengan laluan lain yang telah ditetapkan seperti denai air terjun Murug Turug.
“Mendaki semakin popular, dan Lembaga Pelancongan Sabah telah berusaha untuk mempromosikannya kerana hasil yang berpotensi dibawanya kepada masyarakat tempatan.
“Walaupun kami menggalakkan aktiviti, kami juga mesti memastikan pengembara kami berasa selesa dan memastikan mereka mempunyai akses kepada kemudahan seperti tandas dan tempat perlindungan di sepanjang denai kembara,” katanya.





