PUTRAJAYA: Kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah terus diperkukuh apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tumpuan kepada pembangunan harta intelek sebagai pemangkin ekonomi kreatif negeri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick di pejabatnya, di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, pertemuan tersebut membuka ruang kepada pelbagai agenda kerjasama strategik khususnya dalam memperkukuh kesedaran serta pembangunan harta intelek di Sabah, terutama dalam kalangan usahawan dan pencipta tempatan.
“Kita melihat masih banyak potensi yang boleh diteroka secara bersama, termasuk melalui kerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia bagi merangka pelbagai program berkaitan harta intelek di Sabah, termasuk latihan dan pembangunan kapasiti melibatkan penjawat awam serta pelbagai pemegang taruh,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Armizan berkata, peranan kementerian negeri seperti MINDET amat signifikan dalam mendukung aspirasi pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, khususnya dalam menggerakkan inisiatif yang mampu memberi nilai tambah kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan hasrat untuk memperluaskan pengenalan batik bermotif tradisional Sabah sebagai sebahagian usaha mengangkat warisan tempatan ke tahap lebih tinggi.
“Saya berharap khazanah budaya ini terus diperkasa, bukan sahaja sebagai identiti negeri, malah menjadi pemangkin kepada ekonomi kreatif tempatan,” katanya.
Beliau menambah, pengukuhan harta intelek dan pemerkasaan warisan budaya tempatan berpotensi menjadi antara pemacu utama dalam memperkasa sektor keusahawanan dan industri kreatif di Sabah.






