KOTA KINABALU, SABAH – Bau busuk membawa kepada penemuaan sepasang suami isteri yang mati dipercayai membunuh diri dengan minum racun di rumah mereka, di Taman BPL, Luyang, dekat sini, kelmarin.
Mayat pasangan berusia 46 dan 37 tahun itu ditemui jam 9.10 malam semalam (Jumaat) selepas jiran mangsa membuat laporan polis berikutan bau yang terlalu busuk dari dalam rumah mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata berdasarkan laporan yang diterima daripada pegawainya memaklumkan pasangan itu dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat mereka.
Beliau turut berkata, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat, namun rumah mangsa berkunci.
“Pegawai penyiasat kemudiannya terpaksa mendapatkan bantuan pasukan bomba untuk memecahkan pintu rumah mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian pasangan itu berdasarkan siasatan di tempat kejadian.
“Pemeriksaan lanjut juga menemui sejenis cecair racun berhampiran pasangan terbabit yang dipercayai diminum oleh mereka…
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan.”
Menurut sumber, pasangan terbabit mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun dan sebelum kejadian anak mangsa di bawa ke rumah nenek mereka di Luyang.