YNJ Santuni 15 KIR Mangsa Kebakaran Kampung Likas

YNJ Santuni 15 KIR Mangsa Kebakaran Kampung Likas

0
SHARE
Al hambra
Al Hambra (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 15 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa kebakaran Kampung Likas mendapat bantuan daripada Yayasan Nur Jauhar (YNJ).

Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni dalam Program Penyampaian Sumbangan YNJ Kepada Mangsa Kebakaran Kg Muhibbah di Dewan Serbaguna Likas, pada Selasa.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Al Hambra Tun Juhar yang juga Pengerusi YNJ berkata sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban mangsa yang ditimpa musibah.

“Hari ini, YNJ memberi sumbangan berupa wang tunai, bahan asas makanan dan juga pakaian kepada 15 KIR yang terlibat dalam kebakaran yang berlaku pada Ahad lepas memusnahkan 10 buah rumah.

“Diharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban mereka dalam menjalani ibadah puasa bersama keluarga.

“Saya juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada kepada segala bencana yang tidak diingini seperti kebakaran memandangkan kemarau yang melanda sekarang ini, ” katanya ketika ditemui media.

Penjawat awam, Edy Zaffrel Ikhwan Parlis, 33, yang juga mangsa kebakaran sebak mengenangkan kesemua persediaan raya anak musnah dalam kebakaran.

“Persiapan raya anak-anak seperti pakaian dan kasut semua musnah dalam kebakaran ini, saya ada enam orang anak berusia di antara satu hingga lapan tahun.

“Saya sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan, sedikit sebanyak dapatlah meringankan beban untuk membeli barang keperluan anak-anak bersekolah.

Saya amat berharap agar perancangan untuk membina semula rumah di tempat asal yang terbakar mendapat kebenaran dari pihak berwajib supaya kami dapat membuat persediaan sambut raya meskipun ala kadar,” katanya.

Hadir sama, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon.

Dalam kejadian kira-kira jam tuga pagi Ahad lalu, kebakaran di Kampung Likas telah memusnahkan lapan buah rumah. — JABATAN PENERANGAN SABAH