KOTA KINABALU – Kumpulan tempatan Kina Ventures Sdn Bhd dan kumpulan pelabur dari Taiwan merancang untuk menjalin kerjasama membina Taman Perindustrian Antarabangsa Sabah bernilai RM10 billion pada tanah berkeluasan 20,000 ekar serta sebuah pelabuhan baharu dalam usaha sama dengan kerajaan negeri Sabah di Kimanis.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diberi taklimat mengenai perkara ini semasa kunjungan hormat delegasi bersama Kina Ventures dan pelabur Taiwan yang diketuai Pengerusi Kina Ventures Datuk Maijol Mahap di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini pada 13 Mac lepas.
Keseluruhan pembangunan apabila siap akan mempunyai unjuran nilai pembangunan kasar akhir kira-kira RM200 bilion.
Berpuluh ribu peluang pekerjaan dan perniagaan dijangka akan diwujudkan untuk rakyat tempatan dan dengan hasil cukai jangka panjang yang lumayan kepada Kerajaan Negeri.
Taman perindustrian yang dicadangkan itu bertujuan untuk pelabur tempatan dan antarabangsa untuk menubuhkan kilang pembuatan dan pemprosesan, kedai, pejabat kedai industri dan lain-lain bersama dengan dataran komersial dan pembangunan kediaman.
Turut hadir Pengarah Urusan Kina Ventures Herman S K Lee, Melvin Lee, Rachel Lee, Presiden Dewan Perniagaan Besar Hakka Taiwan Yeh Chun-Hui dan Presiden Kehormatnya Yeh Chun-Rong.
Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelabur datang dan melabur di Sabah, selaras dengan dasar mesra pelaburnya.





