KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 653 Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) diusir melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga City, Filipina dalam siri ketujuh Program Pemindahan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) tahun ini.
Pecahan tahanan yang diusir ialah 439 orang lelaki, 145 orang wanita, 64 orang kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan 5 orang kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata tahanan dewasa purata umur adalah dari 13 tahun sehingga 68 tahun manakala anak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.
“Kesemua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1.
“Walau bagaimana pun, tahanan PATI yang terlibat pada kali ini hanyalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Tawau.
“Kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau mengingatkan semua warga asing untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di negeri Sabah terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.
“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.





