Tikam Kepala Adik Sendiri Kerana Ibu Tidak Beri Wang Beli Dadah

Tikam Kepala Adik Sendiri Kerana Ibu Tidak Beri Wang Beli Dadah

0
SHARE
Suspek kejadian ditahan polis..

BEAUFORT, SABAH – Berang dengan ibu kerana tidak diberikan duit untuk membeli dadah, seorang lelaki 31 tahun bertindak menikam kepala adiknya sendiri dengan sebilah gunting di Kampung Pintas, sini, semalam.

Kejadian 5.30 petang itu bermula dari teguran si adik, 25 tahun, selepas tidak tahan melihat saspek menghempas pintu peti ais dan merosakkan barang lain di rumah selain menjerit-jerit sejak tengah hari lagi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, berlaku pergelutan antara mangsa dan saspek sehingga saspek bertindak mengambil gunting dapur dan cuba menikam atas kepala mangsa.

“Mangsa sempat menahan tangan saspek yang memegang gunting bagaimanapun hujung gunting terkena kulit kepala mangsa, berkemungkinan semasa saspek menarik gunting tersebut…

“Ibu mangsa turut berada di dapur dan cuba meleraikan pergelutan tersebut.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian atas kepala sebelah kiri dan luka di bahagian dada kanan pengadu akibat terkena hujung gunting yang digunakan suspek,” katanya.

Katanya lagi, mangsa yang bekerja sebagai seorang juruwang dirujuk ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

Susulan laporan yang dibuat oleh ahli keluarga terbabit, sepasukan anggota polis menahan suspek dan merampas gunting lebih kurang 21cm panjang yang digunakan ketika kejadian.

Gunting yang digunakan dalam kejadian tikam tersebut…

“Pengakuan awal saspek ada mengamuk dan mengambil gunting tetapi tidak sengaja mencederakan mangsa,” kata Yusoff.

Hasil siasatan mendapati suspek disyaki seorang penagih dadah dan dikatakan meminta wang dipercayai untuk mendapatkannya.

“Siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya,” Ketua Polis Beaufort berkata.