KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedia mencabar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan UMNO akan datang.
Dalam satu kenyataan beliau yang dipetik Berita Harian, kesediaan itu dinyatakan ketika Hishammuddin ditanya mengenai pendiriannya sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu dipertandingkan pada pemilihan yang perlu diadakan sebelum pertengahan tahun ini.
Beliau berkata, keputusan sama ada jawatan Presiden atau Timbalan Presiden yang akan direbutnya hanya akan diputuskan selepas Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) memutuskan sama ada dua jawatan itu dipertandingkan atau sebaliknya.
“Kita kena tunggu mesyuarat PAU kali ini. Kalau sekiranya keputusan PAU hari ini ada pemilihan, saya sendiri tidak keberatan untuk memikirkan bertanding dalam pemilihan akan datang,” katanya kepada media ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan dasar PAU 2022 hari ini, menyerahkan kepada perwakilan persidangan itu untuk menentukan sama ada dua jawatan tertinggi berkenaan akan dipertandingkan atau sebaliknya.

Pemilihan UMNO perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu, selaras pindaan perlembagaan UMNO supaya pemilihan parti di semua peringkat diadakan tidak lebih dari enam bulan selepas diadakan sesuatu PRU Parlimen.
Polemik mengenai isu itu timbul selepas beberapa pimpinan UMNO menggesa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan bagi menjaga perpaduan dan kekuatan parti.
Namun, kumpulan pimpinan yang lain pula mendesak supaya semua jawatan dipertandingkan bagi menjaga demokrasi dalam UMNO, selain mahu pembaharuan dalam parti itu selepas mencatat keputusan buruk dalam PRU15.
Kelmarin, seramai 140 ketua UMNO bahagian tampil menyokong dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan kerana parti perlu bersolidariti bersama Ahmad Zahid untuk berdepan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.
Susulan itu, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin, yang dikatakan bakal mencabar satu daripada dua jawatan berkenaan, menggesa ‘kegilaan itu dihentikan’.