KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah kekal konsisten mempertahankan subsidi diesel sebagai langkah kritikal bagi mengawal kos pengangkutan sekali gus mengekang kenaikan harga barang dan tekanan kos sara hidup rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendirian itu penting bagi mengelakkan pemindahan beban kos kepada pengguna serta memastikan kelangsungan operasi perniagaan tempatan yang sensitif terhadap perubahan kos input.
“Kerajaan Negeri konsisten menyuarakan kepentingan mengekalkan subsidi diesel di Sabah sebagai langkah kritikal untuk mengawal kos pengangkutan dan mengelakkan pemindahan beban kenaikan kos kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Senallang) mengenai apakah langkah segera Kerajaan Negeri untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat serta risiko kenaikan harga minyak global akibat konflik antarabangsa pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, di sini, hari ini.
Menurut beliau, peningkatan harga minyak global serta gangguan rantaian bekalan tenaga susulan konflik di Asia Barat berpotensi memberi kesan berantai kepada ekonomi negeri, termasuk lonjakan kos operasi, logistik dan harga barangan di pasaran.
Katanya, situasi tersebut boleh meningkatkan tekanan inflasi, menjejaskan kuasa beli rakyat serta memperlahankan momentum pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam pada itu, Hajiji menjelaskan Kerajaan Negeri menyokong pendekatan Kerajaan Persekutuan dalam mengekalkan harga bahan api bersubsidi bagi rakyat dan sektor tertentu sebagai usaha mengawal kenaikan harga barang.
“Pada masa ini, harga petrol RON95 dikekalkan pada kadar RM1.99 seliter, manakala harga diesel bersubsidi ditetapkan pada RM2.15 seliter bagi Sabah, Sarawak dan Labuan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah menubuhkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) bagi memantau kedudukan bekalan bahan api dan tenaga negara secara berterusan.
Tambahnya, pasukan itu berperanan merangka langkah mitigasi bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga selain memperkukuh kawalan harga serta penguatkuasaan bagi membendung aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.
“Penekanan turut diberikan kepada penguatkuasaan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan dan harga di pasaran,” katanya.






