PPM Berjaya Tahan PATI Bersembunyi Di Kebun Pisang

PPM Berjaya Tahan PATI Bersembunyi Di Kebun Pisang

0
SHARE
Foto ihsan daripada PPM Tawau...

TAWAU, SABAH – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya menahan sebelas warga asing dalam operasi mengekang kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) ke daerah ini semalam.

Serbuan pada 5.30 pagi itu dilakukan sepasukan anggota PPM menerusi Ops Gelora Khas/Op-Benteng COVID di sebuah kebun pisang kampung Tawau Lama susulan maklumat dan risikan berkaitan kemasukan PATI di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis Mohd Nazari Bin Ismail berkata, “ketika serbuan berkenaan dilakukan sekumpulan orang dipercayai warganegara Indonesia tidak menyangka kehadiran pihak berkuasa di tempat persembunyian tersebut”.

Menurut Mohd Nazari lagi, kumpulan tersebut terdiri daripada lapan orang lelaki berumur antara dua hingga empat puluh lima tahun dan perempuan berumur antara empat puluh satu hingga tiga tahun yang disyaki baru tiba di kawasan berkenaan dan sedang menunggu pengangkutan untuk ke lokasi seterusnya.

Hasil pemeriksaan awal mendapati hanya seorang lelaki yang memiliki passport perjalanan yang sah. Manakala yang lain tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Kesemua mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000.00 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan.

Pasukan Polis Marin mengucapkan terima kasih atas maklumat yang disalurkan.

Masyarakat termasuk masyarakat maritim dan persisir pantai boleh juga menyalurkan maklumat kepada Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi whatsApp di nombor 0132831197.

Maklumat yang disalurkan akan dipanjangkan kepada pegawai dan anggota dan aset yang sedang bertugas di lapangan untuk tindakan segera.