PELAKSANAAN PELAN PERLU DIPANTAU BERTERUSAN: KM HAJIJI

PELAKSANAAN PELAN PERLU DIPANTAU BERTERUSAN: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor...

KOTA KINABALU, SABAH – Pemantauan berterusan perlu diberi tumpuan utama ke atas Pelan KK 2035 dan pelan Strategik DBKK 2023-2026 bagi memastikan pelaksanaannya mengikut seperti apa yang terkandung dalam kedua-dua pelan berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata menerusi pemantauan itu ia dapat membantu agensi sektor awam untuk membuat penilaian, mengenalpasti kekurangan serta kelemahan yang wujud, dan seterusnya melaksanakan penambahbaikan yang diperlukan.

“Saya berharap kedua-dua pelan yang dilancarkan hari ini akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya mengikut apa yang terkandung dalam pelan berkenaan.

“Justeru, beberapa perkara perlu diberi penekanan dalam memastikan kejayaan pelan yang dihasilkan mencapai matlamat strategik dan keberhasilan yang diinginkan, iaitu dengan memberi fokus secara berterusan terhadap pemantauan pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelancaran Pelan KK 2035 dan Pelan Strategik DBKK 2023-2026 di Hilton di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Pelan KK 2035 yang menyatukan pelan tindakan sedia ada meliputi enam agenda yang menjadi tunjang utama iaitu ketersediaan prasarana; kelestarian alam sekitar; kemakmuran sosi-ekonomi; kerangka bandar pintar dan transformasi digital; keterangkuman seni dan budaya, dan kecemerlangan tadbir urus.

Bagi Pelan Strategik DBKK 2023-2026 pula, pelan ini juga digerakkan dengan dengan enam teras utama merangkumi Bandaraya Lestari; Masyarakat Sejahtera; Perundangan dan Keteraturan; Pembangunan Sosio Ekonomi; Tadbir Urus Berprestasi Tinggi; dan Jaringan Kerjasama.

Hajiji berkata Pelan KK 2035 ini akan menjadi rujukan utama kepada semua jabatan dan agensi yang bertanggungjawab kepada pembangunan Kota Kinabalu dan ia bergerak seiring dengan agenda pembangunan nasional di bawah kerangka Malaysia Madani, dan selaras dengan Sustainable Development Goals 2030.

“Penghasilan Pelan KK 2035 ini amat tepat pada masanya dengan mengambil kira aspek inklusiviti dan kepelbagaian yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

“Bagi Pelan Strategik DBKK 2023-2026 pula, menggariskan 28 strategi dengan 56 program yang disenaraikan bagi mendokong teras strategik yang memenuhi keperluan pemegang taruh, penduduk Bandaraya Kota Kinabalu dan merealisasikan misi dan visi ke arah Bandaraya Kota Kinabalu yang sejahtera.

“Saya menghargai inisiatif dan usaha DBKK menggubal Pelan KK 2035 dan Pelan Strategik DBKK 2023-2026. Pelan yang dihasilkan ini adalah bukti kesungguhan DBKK untuk mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian dan perkhidmatan yang berorientasikan pelanggan serta memantapkan tata kelola berintegriti,” katanya.

Sehubungan itu katanya, semua warga kerja baik di sektor awam mahupun swasta perlulah terlibat sama, komited dan berkorban demi menjayakan visi dan misi yang dirancang bersama menerusi kedua dua pelan berkenaan.

“Kerajaan negeri akan terus memberikan sepenuh komitmen untuk menyokong pelan ini ke arah merealisasikan perubahan dan aspirasi rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, Hajiji berkata kepesatan proses perbandaran yang berterusan saban tahun membawa bersama pelbagai cabaran dan perubahan baharu yang perlu dipikul oleh pihak berkuasa tempatan atau PBT.

“Mendepani semua cabaran dan perubahan baharu yang berada di luar jangkaan, khususnya selepas pandemik COVID-19, Bandaraya Kota Kinabalu tidak boleh ketinggalan.

“Sebaliknya, perlu lebih agresif melaksanakan pelbagai inisiatif menangani serta mengadaptasi semua cabaran dan perubahan itu.

“Sebagai agensi pelaksana barisan hadapan, DBKK perlu mempersiapkan langkah yang strategik untuk mendepani cabaran-cabaran semasa dan menggalas tanggungjawab yang diberikan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam usaha menjayakan pelan berkenaan DBKK juga perlu terus memberi perhatian terhadap aspek kebersihan, keharmonian dan keselamatan dalam bandar raya.

“Bandar raya yang bersih dan indah bukan sahaja memberi keselesaan kepada warganya malah akan menarik kehadiran pelancong sekali gus dapat memperkasakan pertumbuhan ekonomi menerusi pelancongan,” katanya.