PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendapat izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa dan menahan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pihak SPRM dalam satu kenyataan sebentar tadi selepas Setiausaha Agung DAP itu hadir sekali lagi ke ibu pejabat SPRM pada jam 9.10 malam tadi.
Menurut kenyataan tersebut, SPRM memaklumkan telah mendapat izin untuk mendakwa daripada Peguam Negara bagi menuduh Guan Eng berhubung kes terowong dasar laut di Pulau Pihang pada esok pagi (7 Ogos) dan di Mahkamah Khas Rasuah di Jalan Duta di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan 10 Ogos di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang bawah akta yang sama.
“Kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ini adalah bersangkutan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang,” jelas kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, SPRM turut mendapat izin daripada Peguam Negara untuk menuduh Guan Eng bagi kes berlainan iaitu pada 11 Ogos ini.
Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang bagi kesalahan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.