KUALA LUMPUR – Parti Bangsa Malaysia (PBM) dilihat semakin parah dalam menghadapi krisis dalaman selepas Presiden parti itu menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi berkuat kuasa serta-merta termasuk Datuk Zuraida Kamaruddin.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien yang mendakwa masih sah sebagai Presiden PBM mengesahkan tindakannya itu.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik oleh Larry dalam laman media sosial rasmi Facebook, beliau turut menyenaraikan seramai 12 Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dalam PBM.
Antara 12 AMT terbabit ialah Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.
Menurutnya, penggantungan terbabit adalah berdasarkan Perlembagaan PBM Fasal 60 (iii) yang dilakukan kerana pembabitannya berterusan mereka yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepimpinannya.
“Saya menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya muslihat politik sedemikian yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum…
“Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya…
“Surat penggantungan juga telah dihantar kepada mereka secara individu,” katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan kenyataan terbabit, Larey turut memaklumkan satu mesyuarat membabitkan Majlis Tertinggi akan diadakan di Sarikei, Sarawak pada 30 Oktober (esok).
Katanya, mesyuarat terbabit adalah bagi membincangkan dan menyelesaikan berhubung isu tersebut secepat mungkin.
“Saya akan melaksanakan peruntukan Fasal 21 (ii) perlembagaan parti untuk membolehkan mesyuarat diadakan kurang daripada notis tujuh hari seperti yang diperuntukkan. Mereka yang digantung tidak akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat ini,” katanya.