Simulasi PRN Tunjuk GRS Berpotensi Menang 14-15 Kerusi Parlimen dan Sasar Lebih...

Simulasi PRN Tunjuk GRS Berpotensi Menang 14-15 Kerusi Parlimen dan Sasar Lebih – Armizan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Simulasi berdasarkan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara kiraan atas kertas berpotensi memenangi antara 14 hingga 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagaimanapun gabungan itu menyasarkan pencapaian lebih tinggi bagi memperkukuh suara dan solidariti Sabah di peringkat Persekutuan.

“Kalau kita lihat dari segi kiraan simulasi, tidak termasuk dengan adanya parti komponen baharu sekarang, kalau kita lihat kiraan undi simulasi DUN yang lepas, GRS on paper boleh menang dalam 14, 15 kerusi Parlimen.

“But we want more than that. Sebab kita mahu ada suara Sabah, solidariti Sabah, suara Sabah itu melalui GRS dengan jumlah kerusi yang jauh lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS, di sini, hari ini.

Armizan berkata, mesyuarat itu turut mendengar laporan daripada parti-parti komponen mengenai persiapan masing-masing menghadapi PRU, termasuk menilai kedudukan GRS di setiap kawasan Parlimen.

Menurutnya, tumpuan ketika ini adalah untuk mengekalkan sokongan yang diterima GRS di kawasan dimenangi serta kawasan yang merekodkan jumlah undi signifikan pada PRN lalu, selain meningkatkan sokongan di kawasan lain yang dikenal pasti mempunyai potensi.

Katanya, gerak kerja GRS perlu dilaksanakan secara lebih strategik dan berfokus dengan mengekalkan asas sokongan sedia ada serta menambah kekuatan bagi membolehkan gabungan itu membawa suara Sabah yang lebih kuat di peringkat Persekutuan.

Dalam menentukan strategi menghadapi PRU, Armizan berkata, faktor calon yang boleh menang atau winnable candidate turut menjadi antara pertimbangan penting GRS berdasarkan pengajaran daripada PRN lalu.

“Bukan hanya kerusi yang berpotensi untuk menang, tetapi paling penting juga lesson learned daripada pilihan raya negeri yang lepas, winnable candidate itu juga cukup penting.

“Jadi itu antara pertimbangan yang dilihat dalam perbincangan kita,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan menggunakan formula kerjasama GRS, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRU, Armizan berkata, gabungan itu perlu terlebih dahulu meneliti mesej yang disampaikan rakyat Sabah menerusi PRN lalu.

Pada masa sama, katanya, keperluan memastikan kesepaduan dan kestabilan Kerajaan Negeri berdasarkan komposisi pentadbiran ketika ini juga perlu diambil kira.

Beliau berkata, landskap politik ketika ini sangat dinamik dan perkembangan antara parti-parti utama di Semenanjung Malaysia mungkin mempengaruhi bentuk kerjasama di peringkat negeri kelak.

“Sebab itu keutamaan kita buat masa ini adalah memperkuatkan GRS tersebut.

“Kita mahu kestabilan Kerajaan Negeri itu dapat diteruskan dan pada masa yang sama, kita mahu suara rakyat melalui pilihan raya negeri yang lepas itu kita ambil kira, jangan tolak.

“Paling penting rumah kita, kita perkemaskan dulu, perkukuhkan,” katanya.

Mengenai kerusi Parlimen yang dikenal pasti berpotensi dimenangi GRS, Armizan berkata, perkara itu masih menjadi rahsia strategik gabungan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan simulasi undi PRN lalu, GRS dapat melihat kawasan yang mempunyai potensi, namun perlu terus meyakinkan rakyat untuk mengekalkan serta meningkatkan sokongan menjelang PRU akan datang.