RANAU, SABAH – Kemalangan jalan raya yang berlaku di Kilometer 83 Jalan Ranau-Tamparuli, Kota Belud, tengah hari tadi meragut nyawa tiga (3) anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang mengalami kecederaan selepas lori yang dinaiki mereka terbabas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa ketika dihubungi pemberita memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati lori yang dalam perjalanan dari Sandakan ke Sepanggar Kota Kinabalu itu dipercayai terbabas selepas mengalami masalah brek ketika menuruni bukit.
Mereka yang maut terdiri daripada pemandu, kelindan dan seorang penumpang belakang, sementara seorang lagi penumpang turut cedera parah.
Sementara itu, Ketua Balai bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 lebih kurang pukul 1.03 minit tengah hari tadi bergegas ke lokasi kejadian bersama-sama tujuh anggota dan pegawai bomba dengan dua jentera dan satu utiliti, EMRS.