KUALA LUMPUR: Penyanyi popular tanah air, Wany Hasrita kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul Lembayung Tari, sebuah karya bergenre Pop Etnik yang menggabungkan elemen tradisional dan sentuhan moden dalam balutan emosi yang puitis.
Dilancarkan secara rasmi pada 6 Februari lalu, lagu ini menampilkan susunan muzik unik yang mengalir lembut namun sarat dengan nuansa misteri dan magis, sekali gus memberi kelainan kepada peminat yang dahagakan karya segar.
Lembayung Tari merupakan hasil ciptaan gandingan kreatif Hael Husaini dan Iqie Hugh, dengan susunan muzik oleh Iqie Hugh yang menekankan elemen etnik kontemporari serta sentuhan misteri yang halus.
Lagu ini mengangkat metafora waktu senja sebagai simbol ketenangan, keindahan dan penyembuhan jiwa.
Menurut Wany, karya berkenaan cukup dekat di hatinya kerana memberi ruang kepada pendengar untuk “berhenti seketika” daripada kesibukan hidup dan menikmati keindahan rasa melalui muzik serta seni gerak.
“Lembayung Tari mengajak pendengar menyelami ketenangan jiwa melalui irama dan cahaya yang tidak terucap dengan kata-kata,” katanya.
Single terbitan Wany Hasrita Entertainment dengan kerjasama Maison Management itu diedarkan oleh Universal Music Malaysia dan kini boleh distrim di semua platform digital utama.






