SEMPORNA: Mahkamah Majistret Semporna menjatuhkan hukuman terhadap 10 tertuduh atas pelbagai kesalahan jenayah selepas kesemua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, hukuman dijatuhkan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Insp. Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah. Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Antara kesalahan yang diputuskan termasuk kes judi haram, khianat, mencuri, pecah rumah, sekatan salah dan memiliki harta tanpa keterangan munasabah.
Empat tertuduh berkaitan kes judi di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dikenakan denda antara RM4,000 hingga RM4,300 atau penjara antara tiga hingga empat bulan jika gagal membayar denda.
Bagi kesalahan mencuri dan pecah rumah di bawah Kanun Keseksaan, tiga tertuduh dijatuhi hukuman penjara antara tujuh bulan hingga dua tahun.
Dua daripadanya serta beberapa tertuduh lain berstatus tanpa kewarganegaraan atau warga asing turut diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia selepas menjalani hukuman.
Seorang tertuduh yang melakukan khianat dijatuhi hukuman penjara 18 bulan, manakala seorang lagi yang melakukan sekatan salah didenda RM500 atau penjara seminggu jika gagal membayar.
Tan menegaskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
“Polis tidak akan berkompromi dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah,” katanya.






